Friday, December 28, 2007

Hebatnya HAJAR

Setiap kali tiba musim Aidil Adha, semestinya para khatib akan menceritakan kisah Ibrahim dan Ismail yang sedia menerima apa sahaja arahan dari Allah tanda keimanan terhadap Tuhan yang Satu. Namun, kehadiran Hajar dalam kisah pengabdian hamba kepada Tuhan ini adalah sehebat kisah kehadiran Ibrahim dan Ismail juga.

Masakan tidak, Hajar ialah ibu kandung kepada Ismail. Bukankah seorang yang hebat itu secara sunnahnya lahir dari rahim dan didikan wanita yang hebat juga? Ternyata, Hajar memang seorang wanita hebat dan terpilih dalam sejarah Islam.

Hajar asalnya hanyalah seorang hamba milik Ibrahim dan Sarah. Kerana kemurahan hati Sarah, dipintanya suaminya Ibrahim untuk menikahi Hajar, agar zuriat Ibrahim tidak pupus setakat itu kerana ketiadaan rezeki baginya untuk melahirkan zuriat buat Ibrahim.

Namun, perempuan tetap perempuan. Sarah tetap memiliki hati seorang perempuan. Isteri mana tidak cemburu, walau telah berkali2 Sarah mengusir perasaan itu. Perasaan itu semakin menebal apabila Hajar dikurniakan Ismail. Seperti juga yang tercatit dalam sejarah Humaira’ dan Rasulullah (SAW), si Humaira’ tetap cemburu apabila Rasulullah sentiasa menyebut-nyebut tentang kebaikan Khadijah yang tiada bandingnya.

Tabah Hajar menerima keputusan untuk dibawa menetap ke bumi gersang. Perjalanan yang jauh dan memakan masa itu, tidak pernah diisi dengan bersoal jawab dengan suaminya. Hajar tidak pernah menyalahi Sarah, kerana Sarah ialah wanita yang paling banyak berbudi padanya ketika dia bergelar hamba dahulu, lebih-lebih lagi kesudian Sarah menerima Hajar sebagai madu.

Setibanya di tempat yang dituju, yang diiringi petunjuk Ilahi, Ibrahim terpaksa meninggalkan Hajar dan Ismail segera. Hati suami mana tidak luluh dengan perpisahan itu. Hati isteri mana yang tidak hancur, namun demi menenangkan hatinya, Hajar akhirnya bersuara bertanya kepada Ibrahim.

“Adakah ini perintah Tuhan?”

Anggukan Ibrahim meyakinkan hatinya. Hajar yakin, jika itu perintah Tuhan, Tuhan tidak akan membiarkannya dan Ismail sia-sia. Keyakinan itulah yang mentarbiyyah Ismail untuk mewarisi keimanan ibu dan bapanya. Ibrahim juga meninggalkan kedua-duanya dengan menyerahkan mereka sepenuhnya di bawah jagaan Allah.

Ketabahan Hajar telah mentarbiyyah Ismail. Ketegaran Hajar telah mendidik Ismail. Akhirnya, tercatit dalam sejarah, Ismail pula yang menyuruh Ibrahim menyembelihnya ketika diberitahu bahawa ia ialah arahan Tuhan.

Hebatnya Ismail hasil tarbiyyah dari wanita yang hebat, Hajar. Benarlah kata hukama’, berdirinya seorang wanita di belakang kejayaan seorang lelaki. Firman Allah dalam surah at-Taubah:

Dan orang2 yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat yang maaruf, dan mencegah dari kemungkaran, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...