Wednesday, December 12, 2007

Pertolongan Allah & Kemenangan yang Dekat


Alhamdulillah, bermula dengan semester baru ini, dengan azam yang baru, dengan tekad yang jitu, dengan semangat yang tinggi, saya akan berusaha untuk terus gemilangkan produk yang sedang saya bawa di bahu saya ini, iaitu ISLAM.

Saya amat-amat bersyukur kerana Dia makbulkan jua doa saya, iaitu kejayaan dalam menuntut ilmu. Walaupun ini baru sahaja permulaan perjuangan, tapi dengan keputusan yang cemerlang ini, telah menyuntik semangat yang padu kepada saya untuk terus bertahan dalam mencari ilmu kurniaanNya.

Saya pernah gagal sebelum ini. Sehinggakan saya rasa, kegagalan saya ini telah membawa fitnah kepada Islam yang saya bawa. Saya gagal membuktikan kepada mata masyarakat bahawa berjuang untuk Islam tidak mengganggu gugat kejayaan saya dalam pelajaran. Sememangnya manusia ini hanya mampu menghukum berdasarkan zahir sahaja. Mampu menilai melalui apa yang terpampang pada CGPA sahaja, walaupun hakikat ilmu itu hanya kita dan Allah sahaja yang mengetahui.

Namun pada kali ini, Dia telah menyuntik semangat dan keyakinan saya bahawa berjuang untuk Islam itu tidak akan sia-sia ganjarannya. Pertolongan dariNya ini amat saya hargai dan kadang kala saya berasa agak takut dengan nikmat kejayaan yang Dia kurniakan ini. Bimbang-bimbang jika saya menjadi semakin lalai dengan kesenangan dan lupa untuk bersyukur kepadaNya!

Saya mahu menjadi seperti Rasulullah S.A.W. Bengkak tumit baginda kerana mendirikan sembahyang di sepertiga malam. Bertanya si Aisyah, mengapa sampai begitu amalan baginda, padahal baginda adalah manusia yang telah dijanjikan syurga dan terhindar dari dosa semalam, hari ini dan esok. Jawapan baginda amat menyentuh hati..”Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?”

Setiap masa, Allah akan sentiasa menguji kita. Teringat firmanNya dalam surah Muhammad, saya lupa ayat berapa, namun mafhum ayat itu ialah Allah akan sentiasa menguji kita untuk mengetahui siapakah antara kita yang benar-benar ingin berjihad di jalanNya. Setiap saat ada sahaja saringan dariNya. Seperti kisah Talut melawan Jalut dalam surah al-Baqarah. Pada awalnya, Talut telah ditentang oleh golongannya sendiri, mereka tidak percaya kenapa Talut yang dipilih Allah untuk menjadi pemimpin mereka, padahal masih ramai lagi lelaki dalam kalangan mereka yang kaya-raya dan berkedudukan. Namun, pemilihan Talut bukan kerana itu. Allah memilih Talut kerana ilmu yang ada pada dirinya dan kegagahan badannya. Itulah saringan pertama bagi orang-orang yang ingin berjuang di jalan Allah.

Saringan tidak berhenti setakat itu. Tapisan kedua, ketika tentera Islam yang dipimpin oleh Talut melalui perjalanan yang jauh. Mereka telah diuji dengan sebuah sungai. Talut telah berpesan supaya tidak berlebih-lebih meminum air sungai tersebut, namun, ramai tenteranya telah ingkar perintah. Akibatnya, tertinggallah mereka dari jalan jihad itu kerana kekenyangan. Tapisan seterusnya, apabila tentera Talut berhadapan dengan tentera Jalut, sesetengahnya merasakan kurang yakin dengan janji Allah. Kerana sikap pengecut yang ada dalam hati mereka, mereka juga meninggalkan jalan jihad itu. Tinggallah beberapa org tentera yang masih setia dan yakin dengan janji Tuhannya, melawan Jalut dan akhirnya terbukti…Tentera yang sedikit dapat mengalahkan tentera yang ramai..

Bersatulah wahai kaum muslimin
Dengan semangat dan roh kebenaran
Berjihadlah wahai kaum muslimin
Walau susah menempuh cabaran

Bersatulah wahai kaum muslimin
Dengan obor sinar kebahagiaan
Berjihadlah wahai kaum muslimin
Biar syahid ataupun kemenangan

Berjuanglah wahai ansorullah
Dengan matlamat daulah islamiyah
Berkorbanlah wahai beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan

Bergeraklah ke gerbang jasa
Kalah menang bukan alasannya
Sucikanlah niat di hati
Hingga nyata benarnya janji Rabbi

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...