Monday, November 03, 2008

JANGAN BERHENTI BERHARAP


Alhamdulillah, peperiksaan saya untuk semester ini sudah berada di penghujungnya. Semoga, semuanya berjaya. Tentang keputusan, kita serah sepenuhnya kepada Allah, kerana kerja kita hanya berusaha dan bertawakal, selebihnya, kerja Allah. Lulus atau tidak, itu kerja Allah. Kerana itu semua ujian yang akan diturunkan kepada manusia, untuk menilai siapakah yang lebih baik amalnya.

Masing2 mempunyai impian untuk berjaya. Berdoalah selagi masih bernyawa. Dan janganlah berhenti berharap pada rahmat dan kasih sayangnya. Berjaya tidak semestinya dalam peperiksaan, tetapi juga dalam hidup,cinta, keluarga, kerjaya, dalam perjuangan yang panjang dan semestinya pada hari yang ditunggu2 iaitu di hari perhitungan.

Betapa pemurah dan kasihnya Allah kepada kita. Di dalam al-Quran, acapkali disebut tentang doa dan jaminan akan diperkenankan. Dalam hadith juga banyak dikhabarkan betapa Allah mahu kita berdoa. Seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi:

“Hai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni segala doasa2 engkau dan Aku tiada peduli. Hai anak Adam! Kalau dosa2mu telah sampai ke langit kemudian jika ketika itu kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan ampuni engkau. Hai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan kesalahan2 sepenuh bumi, padahal engkau tidak pernah menyekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan sepenuh bumi.”

Ya Allah, sungguh bertuah bagi sesiapa yang mencintai Allah. Sifat penyayang dan pengampunanNya sangat luas. Cinta yang tidak berbelah bagi kepada hamba!

Ada lagi hadith yang menunjukkan sayangnya Allah kepada kita.

“Barangsiapa yang menghampiriKu sejengkal, Aku hampiri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang menghampiriKu sehasta, Aku hampiri kepadanya sedepa. Dan barangsiapa yang datang kepadaKu berjalan, Aku datang kepadanya berlari.”

Saya teringat ketika saya belajar di Darul Quran, saya pernah diuji dengan al-Quran. Hari ini, menghafal maqra’ lain, maqra’ semalam sudah terlupa. Sehinggalah tiba musim peperiksaan, saya berasa sangat sempit dada kerana 10 juzuk yang sepatutnya saya perlu masyi (lancar), amat susah melekat di kepala. Sehingga saya rasa hampir berputus asa. Saya berasa seolah-olah ingin berhenti setakat itu, tidak mampu lagi. Menangis saya menelefon ibu, dan akhirnya abang saya memujuk. Kata2 abang saya, membuatkan saya tersedar. Ya, al-Quran ini milikNya, Dia akan menguji kepada sesiapa sahaja yang mahu diujiNya. Dia mahu menguji kita, setakat mana kemahuan kita dalam menghafal ayat-ayatNya.

Dan malam sebelum peperiksaan, saya bangun berteleku di hadapanNya. Air mata laju mengalir. Malam itu sungguh sunyi dan saya dapat merasakan bahawa Dia sedang mendengar aduan saya dan sememangnya Dia selalu mendengar..

Serta merta, hati saya tenang. Ketika itu, jika tidak silap, ada 2 jam lagi untuk masuk waktu subuh. Saya membuka radio ikim.fm. Dan air mata saya mengalir laju sekali lagi, kerana mendengar lagu “Yang Abadi” dendangan Mestica. Tapi Engkau pun tahu, onak dan duri pada duniaMu. Engkau ciptakan pagar rintangan, harga cintaMu, jiwaku korban.

Dengan kuasa Allah, ayat yang perlu saya tasmi’ pada hari itu ialah ayat yang say abaca ketika bertahajjud semalam….Alhamdulillah…

Jadi, jangan berhenti berharap. Dan jangan berhenti bersangka baik dengan Allah. Bercintalah dengan Allah, nescaya cintamu tidak akan dikecewakan…

“Hai Tuhan, Engkau Tuhanku. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Engkau yang menjadikan daku, dan aku hamba Engkau. Dan aku di atas ketetapan dan perjanjian Engkau selama aku berdaya upaya. Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan yang telah aku perbuat. Aku akan kembalikan bagi Engkau dengan nikmat Engkau atau aku akan kembali dengan dosaku, maka ampunkanlah bagi dosaku. Kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni segala dosa melainkan Engkau.”

(Hadith Syadad bin Aus drpd Rasulullah S.A.W)

Aku ingin menjadi SETENANG salsabila. Yang sentiasa MEMBAHAGIAKAN dan MENDAMAIKAN para peneguknya..

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...