Monday, March 23, 2009

Dari Warga IIUM Kuantan Kpd Rakyat Palestin


Kuantan 13 Mac - Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan hari ini telah berjaya menyerahkan sejumlah dana daripada warga UIAM kepada Aman Palestin Berhad untuk diserahkan kepada rakyat Palestin terutamanya bagi mereka yang berada di sekitar Gaza, di mana insiden serangan rejim zionis berlaku pada lewat Disember tahun lalu.

Majlis penyerahan dana berjumlah RM8,173.02 ini telah disempurnakan di pejabat pengarah kampus UIAM kuantan dengan dihadiri oleh beberapa wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) serta wakil Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) UIAM. Manakala dari pihak Aman Palestin pula, wakil yang tampil untuk menerima sumbangan ini ialah Ustaz Rushdan Abd Halim.

Sebelum itu, kutipan dana daripada warga UIAM telah bermula sejak serangan rejim zionis terhadap warga Palestin di Gaza yang bermula pada 27 Disember lalu. Kemuncak daripada peristiwa ini ialah perhimpunan aman yang digerakkan oleh Mahasiswa UIAM bagi membantah sekeras-kerasnya kekejaman Zionis di Palestin.

Naib Presiden MPP UIAM yang juga merangkap Presiden MPP kampus Kuantan, saudara Mohd Anwar Md Yassin berkata, mahasiswa sebenarnya memainkan peranan yang cukup besar dalam menjadi agen penyedar ummah terutamanya dalam isu berkaitan dengan kesengsaraan rakyat Palestin ini. Rakyat Palestin merupakan saudara seagama yang mendiami bumi anbiya’ ini dan akan terus menerus berjuang mempertahankan bumi yang diberkati ini daripada tangan-tangan kotor Zionis.

Tambah beliau lagi, merujuk kepada resolusi yang telah dicapai ketika perhimpunan aman dahulu, mahasiswa khususnya warga UIAM perlu sentiasa ingat akan tanggungjawab mereka selaku jurubicara ummah yang disegani dan dihormati oleh massa dengan berusaha untuk menjadikan isu masyarakat dan ummah sebagai landasan perjuangan.

Terdapat 4 ketetapan yang telah disepakati oleh mahasiswa ketika perhimpunan aman Januari lalu berlangsung;

  1. Mempraktikkan pembacaan Qunut Nazilah secara konsisten.
  2. Memboikot barangan buatan Amerika serta Israel dan beralih kepada barangan tempatan selaku produk alternatif.
  3. Sentiasa mendoakan kesejahteraan umat Islam seluruhnya serta resolusi terakhir iaitu,
  4. berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman dan kezaliman zionis.

Tegas beliau, ketetapan-ketetapan ini diharapkan tidak hanya tinggal sebagai satu memori, sebaliknya sentiasa dipraktikkan dan diingati oleh mahasiswa sebagai satu usaha mereka menyambut seruan perjuangan rakyat Palestin yang mendambakan sokongan daripada saudara seagama mereka di rantau ini.

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...