Wednesday, March 04, 2009

SRC : Pembalakan di Bukit Galing

Baru-baru ini, isu pembalakan haram di Bukit Galing kedengaran lagi di kaca tv, terutamanya di dalam slot buletin utama. Dua hari berturut-turut isu ini dibangkitkan oleh stesen televisyen yang bernaung di bawah kelolaan media prima ini.

Kes ini pertama kali dibangkitkan kira-kira 3 bulan yang lalu. Saya masih ingat lagi ketika isu ini ditayangkan di kaca tv, saya sedang bercuti dan masih terngiang-ngiang lagi nama UIAM kampus Kuantan disebut-sebut di kaca tv.

Pada mulanya, saya agak gembira tatkala melihat pintu gerbang UIAM tersergam indah di permulaan berita. Tapi rupa-rupanya panas tidak sampai ke petang, hujan turun di tengah hari. Isu yang saya dengar bukanlah isu yang boleh dibanggakan. Akan tetapi ianya isu yang menimbulkan persoalan yang mana jika tidak ditangani dengan baik, akan mencetuskan satu persepsi yang kurang menyenangkan.

Wartawan melaporkan terdapat kejadian pembalakan haram di kawasan tersebut di mana, aktiviti ini dilakukan atas nama pembangunan. Itu kata mereka(wartawan). Mereka juga mengungkit isu moraliti yang bersandarkan kepada kepentingan menjaga ekosistem di kawasan Bandar Palma ini.

Apa reaksi SRC berkenaan dengan hal ini ? Insya ALLAH, SRC akan cuba untuk mendapatkan butiran lanjut daripada mereka yang mengetahui. Ini bertepatan dengan saranan daripada Qur’an yang mana Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anbiya’ ayat 7 yang bermaksud : “Tanyalah kepada mereka yang mengetahui, andai kamu tidak mengetahui”

Mohd Anwar Md Yassin
Majlis Perwakilan Mahasiswa
UIAM

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...