Tuesday, September 08, 2009

Sehambar Ambal Tabriz

I
AMBAL berwarna terang yang disangkut di dinding ruang tamu bercat pic, kutatap tanpa berkedip. Kubetulkan letak kaca mata supaya ruang pandangku lebih jelas.

Beg pakaian yang kusandang, berlapik blaus oren berbunga halus dan selendang warna senada, tiba-tiba terasa berat. Ceria yang menguasai diri sejak melihat mata Su Aida selepas tiga tahun tidak bersua di Lapangan Terbang Bayan Lepas, hilang begitu sahaja.

Entah bagaimana ambal ini menghias manis ruang tamu kediaman Su Aida. Dadaku berdebar-debar menelah, meskipun keyakinanku begitu tebal mengatakan itu ambal buatan tangan gaya Tabriz. Kuteliti warna latar krim yang menonjol dominan, disertai imej turanj di bahagian tengah dan motif bunga-bungaan dan dedaun paut-memaut di bahagian tepi, arabesque yang sering mencairkan jiwa para peminat seni Islam. Gah mempesona kehalusan tangan penenun oriental yang cekal, mengikat simpulan demi simpulan benang raj, adakala sehingga beratus jumlahnya dalam setiap inci persegi. Celupan warnanya sedaya upaya memiliki warna alam - biru tua meminjam warna nila pekat, krim meminjam warna bunga teluki, hijau meminjam warna daun, coklat meminjam warna kayu serta tiga rona merah daripada gelap sehingga terang; warna bunga-bungaan. Pesona mata dan hiburan nurani sekaligus.

Mataku akhirnya beralih separuh enggan meneliti tanda nama pembuat ambal itu. Tersenggeng pada sisi vertikal sebelah kiri dalam kaligrafi Nasta‘liq. Alif. Jim. Aku terkesima. Tidak mungkin dia. Aku cuba menolak sangka yang mungkin sekadar kebetulan. Bukan namanya sahaja dalam dunia ini berpangkalkan A dan J, walaupun hubungannya dengan ambal dan Tabriz mengecilkan kebarangkalian itu.

Ya Tuhan!

Nafas berat mengasak dadaku serta-merta. Kurasakan seolah-olah seluruh wajah yang akhir-akhir ini semakin mencengkung dek kesibukan projek pameran seni bina Islam terhenti alir darahnya. Mungkinkah suatu kebetulan boleh menyusup sedekat ini ke dalam hidup? Misteri apa ambal Tabriz ini muncul di Bayan Lepas di kediaman Su Aida, ibu saudaraku?

Sesusuk bayangan pemuda sederhana gempal meliuk-lentuk dalam jemala ingatan. Alisnya yang tebal melintang tirus atas sepasang mata coklat, hidungnya yang mancung tinggi tipikal lelaki Parsi dan bibirnya yang tipis merah; muncul bagaikan fatamorgana di tengah gurun gersang. Ali. Ali Jamshid. Di mana agaknya pemuda Tabriz penenun ambal yang kuanggap benteng budaya itu sekarang? Batinku benar terganggu oleh ambal 4 x 6 kaki, kini di depan mata. Kakiku yang bersarung celana denim biru tua membeku antara anak-anak tangga, terbius oleh sebuah kebetulan atau entah sebuah jawapan.

“Razwina, mari Su tunjukkan bilik.” Kubungkus semula memori lama kembali ke ruang kenangan, lalu kuhayun langkah menuju suara lunak Su Aida di bilik tetamu yang telah dihiasi ros merah dan baby breath segar. Namun sang bunga tidak dapat menawanku kembali daripada gangguan sebentang ambal Iran di dinding pic Su Aida. “Nampaknya Su sudah jadi peminat kesenian Islam sekarang. Dari siapa ambal istimewa di dinding sana agaknya?" Akhirnya terlantun juga dari kotak suaraku sebuah pertanyaan, tanda mengalah kepada rasa ingin tahu atau mungkin intuisi halus yang membuak-buak.

Bibir bergincu Su Aida tersenyum sambil menuturkan jawapan yang serba membingungkan, menyauh debar lebih dalam ke dasar jantung. “Hmmm . . . kurator kesenian Islam seorang ini pantang melihat hasil seni. Tetapi cerita ambal istimewa itu, lebih pantas kita dengar dari pemiliknya. Di lapangan terbang besok, biar Naili rungkaikan semua.” Warasku beranjak dipagut resah. Su Aida barangkali dapat melihat riak halus di tasik perasaanku. “Cerita kamu? Su lihat kamu sudah banyak berubah. Barangkali sejak menyertai Muzium Kesenian Islam itukah?"

Aku pasti Su Aida mengisyaratkan perwatakanku dan pakaianku yang kini lebih sopan tenang, berbeza denganku dahulu yang riuh, lantang dan tanpa tudung, meskipun bergelar penuntut universiti Islam. Kutenung mata Su Aida sambil menarik selarik senyum penuh makna.

II

Kubikel belajarku di tingkat empat perpustakaan bukan gempa bumi petang itu, tetapi gempa wacana. Kemunculan Ali Jamshid dengan salam bertenaga menamatkan pertapaanku melayan rasa tidak puas hati tentang keputusan pasukan debat. Konon mahu menjernihkan fikir dan rasaku. Bagiku, menikmati seni reka Islam bangunan universiti kami di perlembahan Gombak jauh lebih mengubat hati. Tenang dataran masjid dan gerak-geri para penuntut meraup air wuduk di pili kolah umum, menyuburkan cambah hujah meskipun wajahku membias kecewa.

“Ada pengakuanmu dahulu, bukan? Katamu kau lebih akrab dengan nama-nama Van Gogh, Toulouse-Lautrec, Canaletto dan Gauguin, daripada mesra dengan barisan nama Qutbah, Al-Hayyaj atau adik-beradik Al-Sijzi?”

“Jadi salahku apa? Itu hanya pernyataan tulusku, Ali, dalam perbualan santai bilik persatuan. Maklumlah, aku tidak lahir dalam keluarga penenun ambal dan aku bukan pakar manuskrip!" Hangat hatiku payah sekali dingin. Kedudukanku sebagai pendebat kedua telah diberikan kepada Ali di pertandingan akhir ini, meskipun dalam pusingan terdahulu aku pernah menyandang gelar pendebat terbaik sebanyak dua kali. Itulah tuah Ali yang selama ini diam di kerusi belakang pendebat simpanan.

Alasannya remeh amat; hanya kerana dia pelajar konservasi manuskrip Arab dengan latar belakang keluarga pembuat ambal eksotik Iran. Lalu dimuktamadkan, dia pasti akan lebih menjiwai debat ini. Berbanding aku. Alasannya lagi, aku dari aliran humanistik sejarah, manakala bapaku adalah pemilik butik seni moden aliran Barat, yang cenderung melihat seni Islam itu feminin dan kurang nilai intelektualnya. Betapa prejudis. Kini, baki tiga hari sebelum bertarung hujah dengan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pencadang isu “Kesenian Islam Masih Relevan dan Perlu Diberi Nafas Baru oleh Generasi Muda Islam” berasa kurang ertinya.

“Dengar dulu, Wina. Kamu tidak salah sedikit pun. Bagiku, kedudukanmu umpama anak angsa putih, yang menganggap itik hitam itulah ibumu, semata-mata kerana itik hitam itu yang mula-mula kau pandang sebaik menetas. Tetapi jangan kau lupa, kau sentiasa boleh mencari ibu sejatimu! Sudah tentu, sama ada kau anak itik hitam atau angsa putih, bergantung dalam kelompok mana kau berada.” Aku menanggapi patah-patah kata Ali dengan kekaguman yang kusembunyikan. Sayup-sayup hatiku mengakui pemuda Iran ini, dari bangsa pengagung para penyair, mampu menyihirku dengan tutur bicaranya. Namun sayang sekali, apa gunanya pandangan Ali? Sudah tentu tidak dapat merubah prejudis para jurulatih terhadap latar belakangku.

“Bersedia sahaja, ya Wina. Siapa tahu rencana Allah di sebalik rencana kita?" Begitu pesannya sebelum melangkah meninggalkanku di kubikel. Bibir tipisnya mengorak senyum paling manis sejak empat bulan kami saling melontar idea dan kritikan di medan latihan debat.

Malam sebelum debat itu berlangsung, malam latihan terakhir di bilik persatuan untuk merumuskan keupayaan kami di pentas sebenar, pecah kecoh dalam pasukan kami. Ali tiba-tiba diserang flu keras dan demam. Dia memakai baju panas mendatangi latihan dengan wajah merah oleh suhu tinggi, dan akhirnya rencana Allah menukar peranan kami kembali.

Kuperas jawapan Ali habis-habisan selepas universiti kami menjadi juara debat keesokannya. Ali mengaku tulus, demam jasmaninya itu memang dicarinya sendiri, asal dapat menyisih kemuraman yang merajai wajahku. “Demamku bahang kasih, Wina.” Guraunya penuh makna. Dia menatapku sungguh-sungguh, sampai aku jadi malu.

Sejak saat itu, ambal persahabatanku dan seorang Ali Jamshid bukan lagi dari bebenang kapas biasa, tetapi dari bebenang sutera yang disimpul erat jalinan kasih. Dia menuntunku sebagai anak angsa putih – ya, dia dalam kelompok yang menganggapku angsa putih – menemui ibuku yang sejati.

“Kita wajib meneroka kembali khazanah kesenian Islam selama seribu tahun yang telah dipisahkan daripada kita, Wina.” Begitu dalam perjalanan cita, kami sama-sama belajar menikmati seni menuju amanatnya yang tertinggi, gerbang ke lorong cinta Ilahi. Kami percaya pintu hidayah tidak semata-mata terbuka dengan pedang, tetapi juga dengan seni.

Bukan namanya kasih sejati jika tidak melahirkan pemberani yang sanggup menerima tanggungjawab daripada wali seorang gadis. Begitu Ali yang kukenal, dia memang seorang pahlawan seni, juga pahlawan cinta. Ayah menyambut Ali dingin sekali pada cuti semester tahun akhir itu, sekadar memenuhi syarat memuliakan tamu, namun Ali rela menadah amarah dan merendah diri. Betapa suasana tenang di rumah kemudiannya huru-hara oleh taufan ayah.

“Tidak ada anak gadis ayah akan menikahi Syiah, faham? Dan tidak sekali-kali anak penenun ambal itu.” Kata-kata itu seperti guilotin memotong leherku. Aku hulurkan pada ayah segala rasional yang kutahu. Syiah atau Sunni itu wujud hanya gara-gara percakaran politik dunia Islam. Kedua-duanya masih Muslim. Sunni atau Syiah, darah kedua-duanya masih tidak halal untuk ditumpah. Aku petik fatwa Al-Azhar. Aku petik pandangan Muhammad Mahdi Akef. Aku berjuang untuk Ali dan janji kami. Lalu kutunggu hati panas ayah menyejuk, berdoa dan bersabar dalam sujud, tepu harap.

Hari penuh sejarah itu, selepas lima bulan kami merayu dan memujuk tanpa jemu, ayah menurunkan cap mohor atas kasih kami. Restunya bersyarat. Ali meraup wajah tanda syukur di sofa ruang tamu, memantapkan hatiku sungguh-sungguh bahawa cabaran ayah itu bakal dapat dipenuhinya. “Hanya sehampar ambal, Wina. Aku akan menenun yang paling cantik. Ambal cita kita!"

Begitu akhirnya Ali kembali ke Tabriz, demi melaksanakan syarat ayah. Tunggu aku, rayunya. Namun, sejak itu juga aku tidak pernah menemui Ali. Sehabis daya kuhubunginya. Sistem pesanan ringkas, telefon, mel elektronik dan hubungan masa sebenar dunia maya kekal sepi. Demi menghidupkan bara ingatan padanya di dupa hati, kukejar gelar kurator Muzium Kesenian Islam hingga berhasil. Kucari raut wajahnya antara para pengunjung muzium saban tahun. Kucari raut wajahnya dalam pameran antarabangsa di negara-negara persinggahanku. Kupegang janjinya menenun sehampar ambal lambang cita kami. Bertahun-tahun kutunggu.

III

Mataku tertancap ke arah sesusuk tubuh tinggi lampai yang baharu keluar dari pintu balai ketibaan Lapangan Terbang Bayan Lepas. Itulah susuk tubuh yang kukenal sejak kecil, Naili Sukma. Kucari-cari tampang lelaki Iran sederhana gempal yang kubayangkan akan berjalan tegap di sampingnya, namun mataku menjamah wajah dan badan seorang pemuda yang terlalu berbeza.

Sewaktu Naili dan pemuda itu kian menghampiri aku dan Su Aida dari celah-celah kumpulan manusia dan tumpukan bagasi penumpang lain, hatiku bagai luruh dari dada ke lantai lapangan terbang. Kakiku meliuk seperti ilalang, hanya kekuatan semangat sahaja menyekatku daripada tumbang. Aku tatap sepenuh hati lelaki yang kini tepat berada di hadapanku, berdiri di sisi Naili dengan senyuman. Dia benar-benar lelaki itu, yang kutunggu sepenuh jiwa.

Namun dia bukan lagi Aliku yang dahulu. Ali Jamshid yang menghilang dalam wujud yang sempurna. Bahagian kiri wajahnya telah diparuti kesan luka, dan sebelah rongga matanya telah kosong dari alat indera lihat, hanya ditutupi kulit kelopak mata yang berkeriput oleh parut bekas jahitan. Syukur sekali sebelah mata coklatnya masih berfungsi, dan mata itulah memberi tanda dia mengenaliku - ada manik basah muncul di tubirnya. Bibir tipis Ali pantas menyebut namaku tanpa keliru. Naili dan Su Aida bertukar pandang, kebingungan. Kubiarkan.

Kuamati tubuh Ali yang kurus sekali di sebalik kemeja kuning berlengan panjang. Empangan air mataku musnah sewaktu kusedar tangannya kini tidak lagi sepasang. Sebelah kakinya juga, kelihatan kerdil oleh kecacatan. Mindaku berlari antara garis mimpi dan realiti yang berpilin kusut.

Malam itu di banglo pinggir Bayan Lepas, lima tahun yang hilang antara aku dan Ali menjadi seperti dongeng. “Selepas kudengar ISESCO mengumumkan negaramu sebagai Kota Kebudayaan Islam, cita-citaku yang bertahun-tahun dingin oleh kecelakaan bom di Mashhad hangat semula. Kufikir jalan pembebasan diri dari menyesali takdirku biarlah dengan memburu sarjana sejarah dan peradaban Islam di Exeter. Di sanalah kujual ambal itu kepada Naili, sebelum kami bersahabat dan aku bertandang ke mari. Bukan tidak mengenangmu dan janjiku, tapi aku bukan lagi Ali yang dulu.”

Pandangan kami yang bersatu beralih menatap ambal yang digantung manis di ruang tamu. Sehampar ambal tenunan cita, yang sempat disudahi Ali sebelum melawat saudaranya di Mashhad. Tiada lagi hutang janji antara kami, hanya keinginan melangkah seiringan ke gapura cita.

“Jangan biar apapun merobohkan bentengmu lagi, Ali!”

~Anjeruby~

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...