Satu cara mudah untuk mengetuk pintu hati dan minda kita ialah dengan merenung dan bertafakur- melihat peristiwa atau apa saja ciptaan Allah yang ada di sekeliling kita. Melihat, merenung dan berfikir. Berguru dengan alam ciptaan Allah yang maha luas ini. Di dalam Al-Quran pun ada banyak ayat yang mengulang bertanya; “Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” Atau dalam ayat yang lain… “Terdapat tanda-tanda (ayat) bagi orang-orang yang berakal”.
Melihat air yang mengalir; air mengalir ke tempat yang lebih rendah. Iktibarnya, ilmu pengetahuan hanya mudah masuk ke dalam hati yang merendah diri. Dan lebih rendah sesuatu tempat itu, lebih banyakla ia menakung air. Begitu jugalah dengan perumpamaan aliran ilmu.-
Lebah. Lebah merupakan haiwan kecil yang tidak pernah hidup sendirian melainkan sentiasa berkumpulan. Hidupnya saling bekerjasama dan bantu-membantu. Ini bermakna, mereka saling memberi sumbangan yang berguna untuk manfaat bersama. -
Tempat persinggahan lebah. Lebah hinggap di atas bugna-bunga, pucuk-pucuk daun atau putik-putik buah. Pendek kata, lebah hinggap di tempat yang bersih, segar dan harum. Singgah di tempat yang baik. Kemudian bawa kebaikan itu merata tempat. -
Aliran sungai yang mengalir. Aliran air sungai itu umpama aliran masa. Tidak akan berhenti atau berpatah semula ke belakang. Jika kita mengisinya dengan kebaikan, kebaikan itu akan tersimpan sebagai pahala. Sebaliknya, jika diisi dengan kejahatan, ia akan kekal sebagai dosa melainkan kita memohon taubat dari Allah. -
Hidupan di laut. Walaupun air laut itu masin semasin-masinnya..tapi anehnya isi atau daging ikan tetap tidak masin. Ertinya, ikan tetap mengekalkan jati dirinya yang tetap tawar walaupun dikelilingi oleh air laut yang sangat masin. Oleh itu, janganlah kita sesekali dicorakkan oleh suasana sekeiranya suasana yang kita hadapi itu negatif. -
Cicak yang merayap di dinding. Cicak memakan serangga yang berterbangan, sedangkan cicak tidak boleh terbang. Cicak hanya menggunakan lidah, mata dan kakinya dengan penuh kesungguhan untuk mencari rezeki. Pengajarannya, cicak tidak pernah ambil pusing tentang kekurangannya. Sebaliknya berfokus pada kelebihannya. Jadi, kita sebagai manusia yang berakal, berilah tumpuan pada keuatan kita, kelebihan atau kemahiran yang kita miliki. Kelemahan atau kekurangan janganlah dijadikan alas an tidak boleh maju. Sebaliknya, cipta kelebihan menggunakan kekurangan kita itu. “ Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. DIA hanya mencipta manusia dengan kebijksanaan yang berbeza”.
“Ya Allah kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkasu, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Al-Imran: 191)
Diedit semula dari Majalah Anis, Ogos 2007, p. 6-7
No comments:
Post a Comment