Saturday, May 16, 2009

Mangsa Pertama H1N1 - Malaysia


AMBULANS dari Hospital Serdang membawa seorang pesakit disyaki dijangkiti virus Influenza A (H1N1) tiba di Hospital Sungai Buloh, malam tadi.

Pelajar lelaki baru balik dari Amerika sah dijangkiti virus

PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatat kes pertama Influenza A (H1N1) selepas seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun yang baru dua hari pulang dari Amerika Syarikat, disahkan dijangkiti virus itu.

Dengan kes terbaru itu serta satu lagi kes yang turut dikesan di Peru semalam, menjadikan jumlah jangkitan H1N1 meningkat kepada 7,522 kes di 36 negara, manakala Mexico mencatat dua lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang meninggal dunia akibat virus berkenaan 65 orang.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan sudah mengambil tindakan segera dan mematuhi segala protokol bagi memastikan wabak itu tidak merebak.

"Saya fikir, kita harus yakin dengan keupayaan agensi dan penguat kuasa yang ada untuk mengawalnya. Biarpun ini kes baru, Kementerian Kesihatan dan agensinya banyak pengalaman seperti ketika serangan beberapa wabak sebelum ini.

"Mereka boleh guna protokol sama dan kita berharap ia akan diurus dengan baik," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Hari Belia Negara 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Sementara itu, Pemangku Menteri Kesihatan, Datuk Seri Kong Cho Ha, menasihatkan semua 198 penumpang dan anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) MH091 dari Newark, Amerika Syarikat yang dinaiki pelajar terbabit supaya menghubungi segera talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau membuat pemeriksaan lanjut di hospital, klinik serta pusat kesihatan kerajaan.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.15 pagi Rabu lalu.

"Ada sebahagian penumpang yang transit di KLIA dan menuju destinasi lain termasuk Indonesia," katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini, petang semalam. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kini menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland.

Kong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pelajar itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada jam 6.45 petang kelmarin selepas mengalami demam, sakit tekak dan badan.

Ujian makmal mengesahkan pelajar itu positif H1N1 dan mangsa kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh tetapi keadaannya dilaporkan stabil. Lima ahli keluarga pelajar itu pula dikuarantin di rumah selama tujuh hari sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kementerian juga sudah memulakan siasatan terhadap mereka yang mungkin berhubungan dengan pelajar itu, termasuk anak kapal dan penumpang penerbangan itu.

"Kita juga bekerjasama dengan MAS untuk menghubungi penumpang pesawat itu dan berharap mereka yang mempunyai simpton virus itu supaya mendapat pemeriksaan segera secara sukarela," katanya.

Ditanya bagaimana mangsa boleh melepasi mesin pengimbas di KLIA, Kong berkata simptom virus itu tidak muncul dengan serta merta dan memerlukan sehari atau dua hari untuk mengesannya.

"Tapi jika sesiapa yang mempunyai demam atau simptom lain, pasti mesin pengimbas dapat mengesannya," katanya.

Kong berkata, Kementerian Kesihatan turut melaporkan kepada WHO mengenai kes pertama itu dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkembangan virus berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, sejak virus itu menular kerajaan meletakkan tahap amaran fasa lima dan sudah menjalankan banyak pemeriksaan terhadap kes yang disyaki tetapi semuanya negatif.

~Anjeruby~

No comments:

Thanks for coming!
Have a read, blogwalk and so on! =p

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...